Antara Ujian dan Berkah Trip Umrah 2017

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,




Alhamdulilah pada 10 December hingga 20 December 2017, saya dan keluarga telah menjalani ibadah umrah dan ziarah. Kami menyertai Pakej Shahid Travel (STT) yang berpengkalan di Batu Pahat, Johor.

Kami turut disertai oleh abag ipar saya dan anak sulungnya. Mereka bertolak dari Malaysia pada 10 Dec dengan AirAsia manakala kami bertolak dari Ankara Turki dengan penerbangan Turkish Airlines.

Memang kami agak gementar untuk menjejakkan kaki ke Tanah Haram. Maklumlah persediaan hanya dengan belajar dari buku dan Youtube. Tiada kursus rasmi yang dapat disertai di Turki ini. 

Tetapi saya percaya, jika niat kita ikhlas InsyaAllah akan dipermudahkan urusan ibadah kita. Bila sudah datang panggilan Allah SWT tiada apa yang dapat menghalang. 


Ujian Demi Ujian

Betullah kata orang-orang yang pernah pergi ke tanah Haram. Ujian untuk sampai memang lain dari yang lain. Ramai yang pesan, SABAR, mulut kena jaga dan kena banyak zikir.

Ujian pertama apabila tiket yang sudah ditempah awal 2 bulan awal dibatalkan 2 hari sebelum berlepas. Saya terpaksa menghubungi syarikat Turkish Airlines untuk mendapatkan jadual penerbangan yang baru. Sepatutnya penerbangan terus dari Ankara ke Madinah tetapi  telah ditukar dari Ankara ke Istanbul dan kemudian ke Madinah. Transit di Istanbul selama 1 jam setengah.

Pada hari nak bertolak pula, transport ke airport telah lewat kerana salah info. Nasib baik penerbangan delay 30 minit. Itupun penerbangan dari Ankara ke Istanbul yang sepatunya mengambi masa 45 minit juga mengalami kelewatan dan mengambil masa 2 jam  kerana airport Istanbul sesak. Bayangkan kapal terbang terpaksa berlegar-legar di udara selama 1 jam lebih sebelum dibenarkan mendarat.

Nasib kami baik juga sebab penerbangan dari Istanbul ke Madinah telah dilewatkan selama 45 minit. Namun kami terpaksa berlari dari terminal domestik ke antarabngsa untuk sampai ke gate. Nasib baik sempat. Mengah jugala berlari dari kaunter check in ke gate. 

Apabila sampai di airport Madinah, sekali lagi kami di uji apabila visa kami tidak dapat diproses. Hanya doa dan tawakkal supaya dipermudahkan urusan. Kami terpaksa menunggu selama 2 jam dari 4 pagi sehingga subuh di airport. Alhamdulillah, akhirnya visa kami lulus. 


Ketenangan di Madinah


Perasaan dapat menjejakkan kaki di Madinah buat pertama kali memang sangat mengujakan. Tak sangka, sejarah yang selalu kita baca dan dengar dalam ceramah ustaz kini berada di depan mata. Dari airport kami menaiki teksi ke hotel Zehra mona dengan 150 riyal.

Jarak hotel yang dekat dengan Masjid Nabawi memudahkan saya dan keluarga  jemaah di masjid Nabawi. Cuaca di Madinah pada hujung tahun agak dingin seperti musim luruh. Suhu paling sejuk apabila di waktu subuh. Kena bawa jacket atau sweater. Kalau tidak memang mengigil kesejukan.

Kami di pimpin oleh mutawif dari Indonesia, Ustaz Abdu Rahman. ternyata ramai jemaah dari Malaysia dan Indonesia yang ada di Madinah. Mungkin faktor musim cuti sekolah dan cuaca yang nyaman menyebabkan ramai yang datang mengerjakan umrah di bulan December.

Alhamdulillah saya dapat melawat makam Rasullullah dan solat di Raudah.

Kagum juga saya melihat puluhan payung-payung raksasa yang terbuka selepas subuh. Memang cantik dan unik. 

Untuk solat di Raudah memang kena banyak sabar. Lepas subuh biasanya jemaah akan mula beratur untuk solat di raudah. Jemaah akan di beri masa untuk solat, kemudian akan diminta beredar oleh petugas masjid. Memberi peluang kepada jemaah lain. 

Jemaah kami juga dibawa melawat Jabal Uhud, Masjid Quba, Ladang Kurma dan Masjid dua Kiblat.

Shopping banyak dilakukan di sini. Peniaga kebanyakaknnya boleh berbahasa Melayu. Oleh itu senang untuk tawar menawar. Hati-hati juga dengan peniaga-peniaga Arab ini. Kadang-kadang suka bergurau kasar. Kena banyak sabar. 

Keberkatan Mekah Al Mukarramah


Setelah 4 hari di Madinah, kami bertolak ke Mekah dengan menaiki bas. Taklimat dan penerangan tentang ibadah umrah diberikan pada malam sebelum bertolak oleh mutawwif dan ketua rombongan.

Kami diminta berkumpul dengan memakai ihram selepas zohor kemudian miqat di Bir Ali. Setelah solat sunat ihram, kami niat ihram di dalam bas dipimpin oleh mutawwif.

Pantang ihram perlu dijaga kalau tidak nanti kena denda/dam. Saya dan isteri terlupa kerana dan biasa memakai tisu wangi  untuk cuci tangan selepas makan. Bila tanya mutawwif, tak boleh dan dikenakan dam. 12 riyal x 6 orang x 2= 144 riyal.

Bas kami singgah makan dan solat maghrib di RnR sebelum sampai ke Mekah. Bas mengambil masa lebih kurang 6 jam.

Setelah sampai di hotel, kami makan malam dan berkumpul di lobby. Jam 1230 kami mula tawaf dan saie. Jam 3 pagi, kami selesai ibadah umrah wajib. 

Masjidil Haram lebih ramai jemaah dari Masjid Nabawi yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Mengikut perkiraan abang ipar saya, Masjid Nabawi boleh menampung sekitar 2 juta jemaah, Kagum melihat jutaan manusia menuju ke masjid untuk solat jemaah. Pemandangan yang jarang dapat dilihat di tempat lain. Semua mencari pahala untuk bekalan hari akhirat.

Melihat Kaabah di depan mata juga mendatangkan keinsafan, terasa banyak sungguh dosa. Hanya pengampunan yang diminta. Selama puluhan tahun solat menghadap kiblat, akhirnya dapat melihat Kaabah live di depan mata. SubhanAllah.


Doa rakan-rakan juga dibaca di depan Kaabah. Semoga makbul semuanya.

Shopping Sakan




Kalau pergi bercuti pun beli barang cenderahati apalagi kalau pergi ke Madinah dan Mekah. Cuma fokus utama di sini adalah ibadah. Shopping diwaktu terluang sahaja.

Memang banyak barang yang boleh dibeli di sini. So berapa duit yang perlu dibawa, kena tepuk dada tanya selera. Kalau ikut hati semua nak beli. Dari hati unta, minyak wangi, buah zuriat, susu unta, minyak zaitun, tasbih, jubah, kopiah, kurma dan macam-macam lagi.

Pendek kata apa sahaja yang di jual pasti laris. Jika naik bas, jemaah anda akan didatangi oleh penjual-penjual jalanan dari Indonesia dan Arab yang menjual pelbagai barangan. Cuma pastikan berhati-hati untuk membeli hati unta. Dapatkan nasihat dari mutawwif. Kerana sebelum ini terdapat wabak penyakit selsema unta. 

Takut hati unta tersebut tidak selamat untuk di makan. Dapatkan dari penjual yang sah.

Air Kencing Lagi Mahal dari Susu


Cuma satu je yang saya tak faham dan terperanjat, air kencing unta di jual dengan harga 30 riyal. Lagi mahal dari susu unta. Susu unta hanya 5 riyal sebotol. 

Bila Google tengok penjelasan ustaz di Youtube. Memang ada hadis Rasullullah yang menyuruh untuk berubat dengan air kencing unta. Kaum ini datang ke Madinah dan jatuh sakit. Pelbagai cara dan ubat tetapi tidak sembuh juga. 

Akhirnya Rasullullah suruh minum air susu unta dicampur dengan air kencing unta. Alhamdulillah sembuh. Mengikut Ustaz Rora, ada mazhab yang anggap najis binatang yang boleh dimakan tidak najis seperti Mazhab Hambali.

Mazhab Syafie menganggap najis. Suruhan Rasulullah untuk mengunakan air kencing unta adalah darurat dan untuk mengubat penyakit. Saya lebih cenderung kepada pendapat ini. 

Mutawwif juga meminta jemaah supaya berhati-hati jika ingin minum air kencing unta. Sebab sahabatnya cuba dan jatuh sakit. Mungkin badan tak tahan.

Saya cuma beli susu unta untuk diminum. Susu unta memang panas sedikit. Tak macam susu biasa, mungkin sebab tinggal di padang pasir. So kalau badan tak tahan memang boleh demam. Isteri dan abang ipar saya minum habis sebotol besoknya terus demam. 

So pada saya kalau nak rasa boleh, tapi jangan minum banyak sangat takut badan tak tahan.

Enaknya Air Zam Zam 

Sebelum ini, bila saya minum air zam zam yang diberi oleh pakcik dan makcik yang balik umrah atau haji, rasanya macam payau sedikit. So pada fikiran saya mungkin air zam zam rasanya begitu.

Bila saya minum sendiri di Masjid Nabawi, rasanya lain tak sama yang seperti yang selalu saya minum. Rasanya sedap dan macam air mineral biasa. 

Disunatkan kita untuk minum air zam zam selepas tawaf, menghadap kiblat dan minum dengan tangan kanan. Ada jemaah yang isi dalam botol besar untuk bawak balik ke bilik. 

Air zam zam memang banyak terdapat di sekitar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Kalau rasa dahaga boleh sahaja minum untuk menyegarkan tubuh dan memberi tenaga untuk saie.


Dugaan Akhir

Setelah 5 hari berada di Mekah waktu untuk pulang sudah tiba. Masa berlalu terasa sekejap sahaja. Tawaf Wida kami buat selepas Zohor di tingkat 2. Ada yang naik skuter, sebab tingkat atas satu pusingan sama seperti 3 kali pusingan di tingkat bawah. Tawaf 7 kali mengambil masa lebih kurang sejam. 

Selesai tawaf kami dan jemaah menunggu bas jam 430 petang. Tetapi sehingga azan maghrib bas tidak muncul lagi. Saya dan keluarga perlu naik terminal antarabangsa Jeddah  manakala jemaah lain yang pulang ke Malaysia naik di terminal haji dan umrah di Jeddah. 

Rupanya bas lambat sampai kerana jalan menghala ke hotel kami sudah ditutup kerana memberi laluan untuk jemaah lain untuk solat asar dan maghrib.  Bas sampai tetapi parking lebih kurang 200 meter dari hotel.

Bayangkan kami terpaksa mengangkat beg-beg meredah jalan yang sibuk. Pada masa yang sama, tiket penerbangan kami secara terus ke Ankara pada jam 330 pagi sekali lagi dibatalkan pada saat akhir. Notifikasi diterima hanya dengan sms. Penrbangan kami ditukar kepada jam 630 pagi. 

Mutawif mengambil keputusan untuk menghantar kami secara berasingan dengan teksi kerana bas jemaah perlu terus ke terminal haji. 

Suasana pada masa itu memang kelam kabut, beg kami dikeluarkan semula dari bas. Selepas bersalaman dengan abang ipar dan anak buah. Bas terus bertolak kerana penerbangan AirAsia ke Kuala Lumpur adalah pada 130 pagi.

Kami sekeluarga balik semula ke hotel dan menenangkan diri. Makan malam dan mengambil keputusan untuk ke lapangan terbang awal untuk confirmkan tiket baru kami.

Mutawif akhirnya memilih uber sahaja untuk menghantar kami ke lapangan terbang kerana saya menolak untuk dihantar oleh beliau. Lagipun kami sudah biasa travel. 

Saya fikir dugaan kami sudah berakhir. Pemandu uber pulak buat hal. Dengan cara pemanduan yang berbahaya sambil memegang phone. Bila ditegur dia hanya cakap No Problem, No Problem.

Yang kelakarnya, dia sempat lagi berhenti oder TEH di tepi jalan. Hampir sesat kerana terlepas simpang, Pada mulanya saya risau juga, tersalah terminal. Bila sampai terus saya check di kaunter dan Alhamdulilllah. Kami tiba di lapangan terbang yang betul.

Lapangan terbang Jeddah sederhana besar sahaja. Saya terus ke kaunter pertanyaan untuk bertanyakan tentang tiket Turkish Airlines saya yang dibatalkan dan bertanya untuk pembelian air zam zam.

Saya diminta untuk ke kaunter check in Turkish Airlines dan membuat confirmation masa penerbangan yang baru. Air Zam Zam saya beli tiga botol 5L. Kaunter pembelian ada di bahagian luar pintu masuk di bahagian paling kanan.

Kami tidur-tidur ayam di terminal sementara menunggu jam 5 pagi. Sempat kami solat Subuh dahulu sebelum terbang ke Istanbul. Dari Istanbul kami terbang ke Ankara dan selamat sampai pada jam 2 petang. Alhamdulillah.


Pengalaman Yang Tidak Dapat Dilupakan


Saya redha dengan ujian untuk sampai ke Tanah Haram. Mungkin peringatan sebab sudah banyak tempat yang saya pergi sebelum ini tapi lambat sangat mahu ke Mekah. Niat memang dah ada. 

Tapi percayalah, tiada tempat yang hati saya rasa tenang setenangnya melainkan di Madinah dan Mekah. Hati begitu sayu apabila azan dikumandangkan. Ramai orang berpusu-pusu untuk sampai awal ke masjid. 

Rasa sekejap sangat dan tidak mahu balik pun ada. Semoga saya dapat kembali lagi ke Tanah Haram. 
Kepada yang belum sampai, pasang niat awal. InsyaAllah akan dipermudahkan untuk sampai ke Tanah Haram.

Kadang-kadang kita tak tahu rezeki kita di masa hadapan.

Catat Ulasan

1 Ulasan

Sam Anderson berkata…
Great travel post indeed. I like it because it is having wonderful travel guide information. Thanks!
meet and greet at manchester