Syukur dapat juga aku bertemu bulan Ramadan tahun ni. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat. Ada juga sahabat handai dan saudara mara yang tidak sempat untuk bertemu dengan bulan yang penuh berkat ini. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan antara orang yang beriman.
Minggu lepas semasa solat Jumaat, khatib ada mengumpamakan bulan Ramadan ini sebuah pasaraya yang menawarkan promosi jualan murah. Beli satu dapat sepuluh. Pelbagai lagi tawaran murah. Jalan yang menuju ke pasaraya ini telah dikosongkan, traffic light telah dihijaukan. Begitulah mudahnya untuk melakukan ibadat dan mencari keberkatan serta pahala mudah di bulan mulia ini. Tetapi kadang-kadang kita leka dengan persiapan raya. Baju raya, langsir raya dan bermacam-macam lagi yang raya. Promosi pasaraya-pasaraya besar lagi lah tidak membantu. Court umpamanya menawarkan hutang 90 hari sempena raya. Menyebabkan ramai yang rambang mata dan akhirnya tidak terbayar hutang.
Khatib juga menambah, bulan Ramadan ialah dimana kita berlatih untuk berkata tidak. Kita mampu berkata tidak untuk makan walaupun kita mampu untuk makan kerana taat kepada perintah Allah SWT. Mampu berkata tidak ketika persekitaran dan rakan rakan mengajak kepada keburukan. Melatih nafsu yang buas bukanlah mudah. Berapa ramai dari kita yang mampu mengwal nafsunya ? Berlapar mampu melemahkan nafsu. Diikuti dengan amal ibadah yang istikamah.
Semoga puasa aku tahun ni mampu menjadikan aku insan yang lebih baik dan beriman..Amin..
1 Ulasan