Assalamualaikum w.b.t
Saudara-saudaraku sekalian,
Telah menjadi kebiasaan, keadaan Islam sejak diutuskan para nabi a.s, pasti dibebani dengan tentangan dan tribulasi. Musuh-musuh Islam dari kalangan Yahudi dan Nasrani tidak henti-henti mencari lubuk kelemahan Islam sehinggalah ke saat kewafatan nabi s.a.w dan ianya digiatkan sehingga ke hari ini. Usaha mereka telah berjaya apabila khilafah Islamiah dapat dijatuhkan melalui penerapan ideologi nasionalisme. Sikap inilah yang membuatkan mengapa khilafah Turki Uthmaniah jatuh di tangan kuasa kuffar pada tahun 1924. Orang arab tidak lagi menganggap bangsa Turki yang menjadi khilafah sebagai saudara se-Islam mereka malah menuduh mereka sebagai musuh dan penjajah yang wajib diperangi. Dalam masa yang sama, Kamal Atartuk meniupkan ajaran sekularisme dari dalam negera Turki untuk menggulingkan khilafah Uthmaniah yang dipimpin oleh Sultan Abdul Hamid II. Akhirnya, kerajaan Turki bukan sahaja mendapat pukulan hebat daripada tentera-tentera kuffar malah dipukul oleh orang Arab yang telah disirami dengan mandian nasionalisme.
Pasca-kejatuhan Islam pada tahun 1924, umat Islam dipecah-pecahkan kepada para penjajah mengikut bangsa dan negeri masing-masing. Malaysia , India , Iraq , Mesir, negeri-negeri Teluk , Sudan , Palestin dan Nigeria diberikan kepada British. Algeria , Tunisia , Moroko dan Syiria diberikan kepada Perancis. Belanda menjajah kepulauan Indonesia . Italy menjajah Libya dan Negara-negara Islam Asia Tengah dijajah oleh Soviet Union dan China Komunis. Umat Islam terus disuntik dengan ideologi-ideologi kuffar beradunkan kemajuan dan prasarana kontemporari di samping menempangkan imej Islam dengan kemunduran dan kezaliman. Kesannya, lahirlah generasi Islam yang memperjuangkan “Fundamental Islam”, lahirlah generasi Islam yang memperjuangkan “liberalisasi” dan lahirlah generasi Islam yang menjadi opposisi Islam. Melalui peng-Globalisasi-an yang tiada sempadan dan batasan, melalui penguasaan ekonomi dan politik, integriti Islam terus dicalari.
Persoalan “Gender Equality” kini menjadi polemik hangat berlegar di setiap penjuru dunia. Rentetan tindakan berani Prof Dr. Amina Wadud menjadi Imam solat Jumaat, justeru telah mencatat rekod di dalam sejarah Islam dan dunia yang tidak boleh dilupakan. Perdebatan demi perdebatan bergerak aktif di seluruh dunia membincangkan mengenai persoalan ini. Tindakan tersebut bertujuan untuk menonjolkan bahawa wanita mampu melakukan kerja yang sama seperti lelaki. Ia sekaligus menimbulkan spekulasi negatif terhadap Islam tentang diri wanita . Persoalannya, adakah benar Islam merupakan agama yang mendiskriminasikan kaumwanita? Mari kita membuat penilaian berdasarkan tiga perkara yang berdasarkan buku “Nilai Wanita”, karangan K.H Moenawwar Chalil:
1) Kedudukan wanita di dalam agama Yahudi dan Nasrani.
2) Kedudukan wanita di dalam masyarakat bangsa-bangsa di seluruh dunia.
3) Kedudukan wanita di dalam Islam.
1. Kedudukan wanita di dalam agama Yahudi dan Nasrani.
Bukti dari kitab Bible “perjanjian lama”:
“Katakanlah ini kepada semua bani Israel: Apabila bunting seorang perempuan lalu melahirkan anak lelaki, maka najislah ia tujuh hari lamanya, seturutnya hari haid yang biasa ….” (Imamat Fasal XII ayat 2)
“Tetapi jika melahirkan anak perempuan, maka dua kali tujuh hari lamanya najislah ia(14 hari), seperti haidnya yang biasa, kemudian hendaklah ia tinggal lagi enam puluh enam hari lamanya dalam darah taharahnya.” (Imamat Fasal XII ayat 5)
Ayat-ayat dalam Bible “Perjanjian Baru” yang berkenaan dengan kaum perempuan.
“Tetapi aku berkata kepadamu: Barangsiapa yang bercerai dengan isterinya, kecuali sebab zina, ialah menjadi sebab perempuan itu berbuat zina, dan barangsiapa yang kahwin dengan perempuan yang diceraikan itu, maka diapun melakukan zina” (Matius Fasal V ayat 22)
“Hai segala isteri, hendaklah kamu tunduk kepada suamimu seperti kepada Tuhan. Kerana suami itu kepala isterinya seperti Almasih pun kepala siding, maka juga yang memeliharakan tubuh. Maka sebab itu, seperti siding itu tunduk kepada Almasih, demikianpun hendaknya segala iseri tunduk kepada suaminya dalam tiap-tiap perkara.” (Epesus V ayat 22-24)
Apa pula pendapat tokoh-tokoh Kritian dan Yahudi terhadap wanita:
1. Martin Luther, seorang penganjur besar Protestan, yang telah sengaja membongkar habis-habisan segala macam bid’ah dan khurafat di dalam agama Katholik, masih menasihatkan dan berpesan agar kaum wanita dijauhkan daripada pendidikan, dengan alasan tidak gunanya bagi wanita diberikan pendidikan.
2. Di dasar patung Raja Henry VII, Raja Inggeris ada tertulis dengan huruf besar iaitu: “Dilarang keras wanita dan orang yang sama taraf dengannya menerima pendidikan dan mengetahui isinya yang berfaedah”
3. Sehingga tahun 1850, di England dan Boston , masih terdapat undang-undang yang sebegini: “Perempuan tidak dibolehkan bertindak maju, suami diberikan hak memukul anak daranya dengan tongkat sebesar ampu jari, sedang perempuan tidak ada hak sedikitpun, hingga pada pakaian dan titik peluhnya sendiri.”
4. John Damascene menyatakan: “Perempuan adalah anak dari kedustaan, penunggu Neraka, musuh keselamatan. Kerananya Adam terusir dari Syurga.”
5. Kata Bernhard: “Perempuan itu adalah anggota dari syaitan”
6. Kata Antony: “Perempuan itu adalah asal mulanya dari tangan syaitan kemudian suaranya adalah dari siulan ular.”
Kedudukan kaum wanita dalam masyarakat Yahudi paling tepat dapat digambarkan oleh ucapan-ucapan yang diucapkan oleh mereka di dalam sembahyangnya pada tiap-tiap pagi: “Terpujilah Tuhan Rabbul ‘Alamin, yang telah menciptakan aku tidak menjadi wanita”. Dan golongan wanita Yahudi di dalam sembahyangnya mengucapkan: “Terpujilah Tuhan Rabbul ‘Alamin, bahawa Dia menjadikan aku mengikut kehendakNya.”
Dari beberapa ayat di dalam bible, baik dari Perjanjian lama dan Perjanjian Baru, tokoh-tokoh besar Kristien, para pemimpin gereja dan doa golongan Yahudi sudah cukup untuk membuktikan tanggapan mereka terhadap kaum wanita begitu jelek dan hina sekali. Bukti ini memadai untuk antum semua membuat penilaian dan kesimpulan terhadap agama Kristian dan Yahudi. Adakah kita masih mahu berkiblatkan telunjuk mereka lagi?
2. Kedudukan wanita di dalam masyarakat bangsa-bangsa di seluruh dunia.
Bangsa Rome:
Di antara abad ke II sebelum masihi, kaum wanita yang dipandang bersalah di tanah Roma, telah diperlakukan dan dizalimi oleh kaum lelaki dengan hukuman yang amat menyakitkan. Contoh perbuatan kejam itu adalah:
a. Badannya dituangkan dengan air panas sampai mati.
b. Tangan dan kakinya masing-masing diikat dengan seekor kuda, setelah itu kuda-kuda tersebut lari dengan pantasnya sehingga terputus-putus anggota badannya.
c. Dibakar di atas nyalaan api yang bernyala-nyala, hingga daging dan tulangnya jatuh sedikit demi sedikit sampai hancur.
Bangsa Perancis:
Di beberapa daerah Perancis sejak dahulu sampai sekarang masih didapati banyak adat kebiasaan bahawa jika seorang perempuan melahirkan anak lelaku, ia boleh makan daging dibakar dengan anggur dan gula. Sekiranya perempuan itu melahirkan anak perempuan, cukuplah baginya makan bubur sahaja.
Bangsa Inggeris:
Tuan Herbert Spencer, seorang ahli ilmu pengetahuan pernah menulis: “Perempuan itu terus menjadi manusia yang rendah kecerdasannya …”
Sahabatku sekalian,
Inilah contoh pandangan mereka terhadap kaum wanita. Wahai PUTERI, PEREMPUAN dan WANITA, semakin cantik rupamu, semakin langsing batang tubuhmu, semakin halus dan licin kulitmu, semakin besarlah bahaya yang mengancam keselamatan jiwamu. Penindasan dan kezaliman terhadap wanita terus menerus direncanakan tanpa disedari, cuma yang membezakannya adalah cara dan pendekatannya. Jika dirimu tidak disirami cahaya keimanan, maka engkau akan memandangnya sebagai erti. Tetapi sekiranya engkau mengetahui, sesungguhnya ia adalah bahan perosak yang memusnahkan nilai darjatmu.
3. Kedudukan wanita di dalam Islam.
a) Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Wahai segenap manusia! Sesungguhnya Kami telah jadikan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal mengenali.” (al-Hujerat: 13)
“Dan barangsiapa yang mengerjakan kebajikan, baik dari lelaki dan perempuan, dan ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka tidak akan dianiayai sedikitpun.” (an-Nisa’ 124)
“Dan barangsiapa yang mengerjakan kebajikan, baik dari lelaki dan perempuan, dan ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, mereka di dalamnya diberi rezeki dengan tidak terhitung.” (al-Mu’minun: 41)
“Dan orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin wanita, sebahagiannya menjadi pembantu kepada sebahagian yang lain …” (at-Taubah: 71)
Berikut merupakan beberapa contoh dari Firman Allah s.w.t dan banyak lagi sebenarnya dalil-dalil yang terdapat di dalam al-Quran.
b) Hadis-hadis nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:
“Bahawa sesungguhnya orang-orang perempuan itu saudara bagi orang-orang lelaki.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Tirmidzy dari Siti Aisyah r.a)
“Sesungguhnya daripada kesempurnaan orang-orang mukmin lelaki pada imannya ialah mereka yang baik budi pekertinya dan lebih sopan pada isterinya.” (Hadis riwayat Tirmidzy dan Hakim dari Siti Aisyah r.a)
“Sebesar-besar kewajipan atas seorang lelaki itu adalah kepada ibunya” (Hadis riwayat Hakim dari Siti Aisyah r.a)
“Syurga itu dibawah tapak kaki ibu” (Hadis riwayat Ahmad al-Qadhy dan al-Khathieb dari Siti Aisyah r.a)
“Mencari ilmu itu menjadi kewajipan kepada setiap orang muslim lelaki dan perempuan” (Hadis riwayat Ibnu ‘Ady dan al-Baihaqy dari Anas r.a)
“Telah didapati - oleh Nabi s.a.w - bahawa seorang perempuan yang mati terbunuh di dalam satu peperangan Rasulullah s.a.w, maka baginda melarang membunuh perempuan dan anak-anak dalam peperangan.” (Hadis riwayat Abu Daud dari Ibu Umar r.a)
Kesimpulan:
Sidang pembaca sekalian,
Berdasarkan ketiga-tiga perbandingan yang diberikan, marilah kita membuat penilaian adakah Islam mendiskriminasikan kaum wanita? Sebenarnya, Islamlah yang telah mengangkat darjat wanita. Oleh itu, perkukuhkan keimanan kita bahawa Islam adalah agama yang adil yang datang dari Allah yang Maha Adil. Sebagaimana Allah itu bersifat dengan sifat Adil dan mengharamkan diriNya bersifat dengan sifat Zalim, maka begitulah diperintahkanNya kepada hambaNya agar berlaku Adil dan menjauhi sifat zalim. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”
“Sesungguhnya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim”
Adakah neraca keadilan Islam itu sama seperti neraca keadilan pada pandangan mata manusia seperti yang digariskan oleh Plato dan Aristotle? Sudah tentu tidak. Islam mendefinasikan adil itu dengan “Meletakka sesuatu itu pada tempatnya”. Maka, barangsiapa yang tidak melakukan dan bersifat dengan prinsip keadilan yang diterapkan Islam, sesungguhnya dia telah melakukan kezaliman. Salah satu contoh kezaliman adalah seperti mana yang diwasiatkan oleh Luqman al-Hakim kepada anaknya yang disebutkan di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya syirik(kepada Allah) itu adalah kezaliman yang besar”
Oleh itu saudara, sekiranya kita menganggap Islam itu zalim dan tidak adil dan seterusnya meyakini terdapat sistem dan agama lain yang lebih baik daripada Islam, maka kita telah syirik dan menzalimi diri kita sendiri. Inilah yang telah Allah sebutkan di dalam al-Quran kepada golongan yang kuffur kepada Allah:
“Dan Allah sesekali tidak hendak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.” (al-Ankabut: 40)
Oleh itu, wajarkah tindakan Amina Wadud tersebut? Tepuk dada, tanya iman masing-masing.
Wallahu a’lam.
1 Ulasan