Ustaz Idris Ahmad
Thu | Mar 27, 08 | 2:36:37 pm MYT
Langkah ringankan beban rakyat - harga minyak, gas kekal. Tarif elektrik tidak naik. Pembaziran subsidi ditangani. Inilah tajuk berita sebuah akhbar tempatan pada 26 Mac lalu.
Benarlah orang kata, ahli politik paling takut sekali apabila mereka ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya. Ini membuktikan bahawa rakyat sebenarnya raja bukan kuli pemimpin.
Apabila rakyat ada maruah, maka mereka akan mengajar pemimpin yang berkepala batu seperti pemimpin Umno-BN yang tidak pernah mendengar suara rakyat.
Apabila rakyat membantah kenaikan harga minyak di depan KLCC mereka arahkan polis membelasah rakyat yang tidak bersenjata sehingga Amran dari Merbok, Kedah di belasah separuh nyawa. Pukulan yang boleh membawa maut. Hanya Allah yang masih memanjangkan umur Amran.
Tidakan kerajaan untuk tidak menaikan harga minyak, gas dan elektrik adalah hasil perjuangan rakyat dengan membayar harga yang mahal.
Rakyat terpaksa bermandikan air asid, gas pemedih mata, cota FRU, penyepak FRU, makan nasi bungkus dan tidur dengan pijat dalam lokap polis.
Rakyat telah tolak pemimpin Umno-BN dalam pilihan raya. Perlu diingat bahawa kerajaan tidak naik harga minyak bukan kerana mereka prihatin kepada rakyat, cuma kerana takut terbang beberapa negeri lagi dan kerajaan Pusat bertukar tangan dalam pilihan raya akan datang.
Bukankah sebelum ini mereka begitu angkuh menolak hujah dan cadangan Barisan Alternatif untuk menurunkan harga minyak 30 sen. Mereka dakwa ini boleh membawa negara jadi bankrap. Kenapa sekarang lain pula bunyinya.
Inilah buktinya apabila rakyat bermaruah kerajaan tidak berani bermewah. Ini baru mereka kalah lima negeri dan hilang kuasa dua pertiga. Cuba bayangkan apabila BA memerintah peringkat Pusat maka banyak lagi keselesaan rakyat dapat dinikmati oleh semua.
Walaupun kuasa negeri agak sedikit dan pendapatan negeri hanya cukai tanah, perhutanan, cukai pintu, zakat, air beberapa perubahan sudah dimaklumkan untuk semua rakyat dapat nikmati bersama.
Selangor sudah mengisytiharkan akan memberi air percuma kepada rakyat sebanyak 20 meter padu setiap bulan. Kedah akan menurunkan cukai tanah. Pulau Pinang menghapuskan kompaun yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, menaikan elaun guru Kafa RM600. Kerajaan Perak telah mengumumkan pembatalan kompaun.
Kerajaan Kelantan memang sedia maklum telah mendahului banyak perkara untuk kebajikan rakayat yang tidak pernah difikir oleh pemimpin Umno-BN. Rakyat yang masih berada di bawah BN-Umno tidak ada perubahan.
Johor akan berubah juga, iaitu banyak tanah dan bangunan akan dimiliki oleh orang Singapura. Menang sorak kampung tergadai. Inilah hadiah BN pada mereka yang masih tidak bersedia untuk berubah.
Rupa-rupanya pemimpin Umno-BN yang benak dan lambat memahami masalah rakyat tidak pernah faham apa penderitaan rakyat.
Mereka menjawab dengan helah politik bahawa minyak kena naik kalau tidak negara akan bankrap. Mereka berkempen dengan orang yang buta maklumat bahawa oleh kerana minyak dunia naik maka negara kita tidak boleh turunkan harga minyak.
Inilah hujah yang pemimpin Umno perbodohkan rakyat melalui media mereka. Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Dato' Najib Tun Razak dan Khairy Jamaludin mana dia ambil tahu berapa harga sekilo gula, secekak sawi. Mereka semua hidup mewah dan tidak pernah terasa penderitaan rakyat.
Tetapi apabila mereka hilang lima negeri baru mereka tahu bahawa rakyat mereka sekarang sudah pandai pakai seluar, kerana selama ini mereka anggap rakyat Malaysia masih cawat dan tidak tamaddun, tidak pandai guna internet dan tidak tahu apa yang mereka lakukan terhadap khazanah negara.
Ini baru kalah lima negari dan mempunyai suara pembangkang yang kuat di Parlimen. Inilah sejarah negara dengan kekuatan pembangkang di Parlimen dengan 82 kerusi manakala BN hanya ada 140 kerusi.
Cuba bayangkan bagaimana suasana Parlimen yang mempunyai tokoh-tokoh yang hebat untuk mendedah dan membongkar penyelewengan kerajaan.
Kita hendak tengok lagak hero Rembau menantu kesayangan di dalam Parlimen. Selama ini dia begitu lantang sehingga menggelarkan pendemontrasi aman sebagai beruk. Tetapi tidak dengar pula Khairy gelar pemimpin Umno yang buat demo di depan Komtar sebagai beruk mat yeh. - lanh
1 Ulasan