UNDILAH BERDASARKAN CALON BUKAN PARTI

Berikut adalah temubual dengan S.S Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Negeri mengenai siapakah calon yang patut dipilih oleh seseorang dalam Pilihanraya Ke-12 ini. Apakah dengan melihat kepada parti yang diwakili atau kualiti diri calon berkenaan?

S: S.S Dr, apakah soal pengundian ini mempunyai nilainya dalam agama?

Dr. MAZA: Ya, sudah pasti. Pengundian boleh menentukan masa depan rakyat dan negara. Keputusan yang betul akan menyelamatkan masa depan umat dan negara. Sementara keputusan yang salah akan menjerumuskan negara ke dalam kebinasaan, atau penyelewengan. Justeru itu Allah berfirman Surah an-Nisa' ayat 58: (maksudnya) : "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu”. Maka pengundian ada nilai yang besar dalam agama ini.

S: S.S Dr, adakah ini bererti anggapan yang menyatakan undian itu mempunyai nilai dosa dan pahala boleh diterima?

Dr. MAZA: Ya, sesiapa yang tahu bahawa undiannya atau pemilihan terhadap calon tertentu itu boleh membawa kerosakan atau keburukan kepada negara dan umat tetapi dia tetap lakukan atas kepentingan diri, atau suka-suka maka dia berdosa. Demikian sebaliknya, jika dia memilih calon yang berkelayakan, maka dia menunaikan arahan Allah tadi, ini bererti dia mendapat pahala. sabda Nabi s.a.w “Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ianya akan sampai ke tahap sedemikian, lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian, lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah”. (Riwayat Malik dalam Muwata`). Satu undi sama dengan satu kalimat bahkan lebih, ianya boleh mengundang keredhaan Allah atau kemurkaannya.

S: Ciri-ciri calon yang patut seseorang pilih, apakah merujuk kepada kualiti calon, atau parti yang diwakili?

Dr. MAZA: Saya tidak bersetuju mengundi hanya berdasarkan jenama parti semata. Ini adalah cara fikir yang menghalang proses kemajuan negara. Akhirnya, rakyat menjadi fanatik parti dan tidak menggunakan lagi akal fikiran menilai siapakah yang diundinya. Jika semua pengundi berfikiran demikian maka tidak akan berlaku persaingan kualiti calon. Ini boleh menyebabkan ‘si bodoh’ atau ‘perasuah’ atau orang yang rendah moralnya akan terpilih dek kerana parti yang diwakilinya. Ini adalah cara fikir yang tidak berdaya saing dan jumud.

S: Tidakkah parti yang diwakili oleh seseorang mempunyai nilai kepada dirinya?

Dr. MAZA: Ya mungkin, tapi itu bukan segala-galanya. Tidak munasabah dalam negara yang rakyatnya berpelajaran lalu kita katakan kepada pengundi : “jangan guna akal fikiran anda, cukuplah dengan hanya melihat lambang atau jenama”. Ini pemikiran kanak-kanak tadika yang belum tahu mengeja dan membaca, lalu hanya bergantung kepada gambar-gambar yang dipapar. Jika itu cara fikir kita, elok kita buka pengundian kepada kanak-kanak bermula dari umur lima tahun. Mereka juga rakyat Malaysia. Yang penting mereka dapat mengenali lambang parti-parti yang diajar kepada mereka. Islam menyuruh diberikan amanah kepada sesiapa yang layak. Yang akan memikul amanah adalah orang, bukan parti. Parti itu terbentuk kerana wujudnya orang yang mendokong. Bukan wujud parti dulu, kemudian wujudnya orang. Wujudnya individu-individu dulu, kemudian baru mereka wujudkan parti. Jika orang tidak berkualiti, bagaimana hendak dikatakan parti itu berkualiti. Maka kempen saya: “pilihlah calon, bukan pilih parti”.

S: Apakah ini padangan agama?

Dr. MAZA: Bagi saya inilah sikap seseorang yang beragama. Bebas dari fanatik atau taklid buta tanpa menggunakan akal. Agama menyuruh kita berfikir. Sebab itu seperti mana yang kita tahu bahawa Nabi s.a.w sayangkan Abu Zar r.a. seorang sahabat baginda yang begitu soleh. Namun apabila Abu Zar meminta jawatan, baginda bersabda: "Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim". (Riwayat Muslim). Jika berdasarkan kepada hubungan baik dengan Nabi s.a.w, maka Abu Zar patut dilantik. Namun dalam pemberian jawatan tidak ada soal kroni, atau fanatik hubungan kumpulan, sebaliknya soal kelayakan.

S: Jadi, apakah ciri-ciri yang sepatutnya seseorang calon itu diberikan undi untuknya?

Dr. MAZA: Secara umumnya mudah sahaja, mesti memiliki dua aspek. Seperti yang disebut dalam al-Quran: (maksudnya): “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas: 26). Maka pertama; al-Quwwah atau kuat, dalam bahasa kita kemampuan, kewibawaan, kemahiran yang menjadikan dia mampu memimpin. Kedua: al-Amanah; ada kesolehan peribadi yang akan memelihara dirinya dari melakukan penyelewengan dan pelanggaran hukum. Jika kedua-dua ciri ini kelihatan pada penampilan calon, dia patut kita pilih.

S: Jika kesemua calon ada ciri-ciri ini, bagaimana S.S Dr?

Dr. MAZA: Kita pilih sesiapa kita rasakan paling tinggi kualitinya kepimpinan dan amanahnya. Tentunya tidak sama. Jika kita rasa sama, maka tidak salah kita pilih yang mana-mana pun selagi kita yakin dia yang terbaik mampu menunaikan tugas.

S: Jika kesemua calon tidak memenuhi ciri-ciri ini?

Dr. MAZA: Kita pilih yang paling kurang mudaratnya dan paling ringan bahayanya. Pada zaman Nabi s.a.w., apabila Rum berperang dengan Parsi, orang-orang Islam lebih sukakan kemenangan Rum dibandingkan Parsi. Walaupun kedua-duanya bukan Islam, tetapi agama Kristian yang dianut oleh orang Rum menjadikan mereka lebih dekat kepada umat Islam dibanding ajaran Majusi menyembah api yang dianut oleh Parsi. Allah menyebut dalam Surah al-Rum ayat 4: (maksudnya) “Pada hari tersebut (kemenangan Rum ke atas Parsi, maka orang-orang mukmin bergembira”.

S: Bagaimanakah jika kita tidak kenal latar calon?

Dr. MAZA: Wajib kita kena kenal calon yang hendak kita undi. Firman Allah dalam Surah al-Isra ayat 36 (maksudnya): “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”. Seseorang wajib mencari maklumat mengenai calon. Masa diberikan oleh pihak pilihanraya. Ini bukan zaman batu. Selidiki sebelum membuat undian. Jika kita gagal mengetahui siapakah yang berkualiti, dia sekurang-kurangnya hendaklah pastikan calon yang jika diundinya tidak memberi mudarat kepada masyarakat dan umat. Jangan undi yang ada rekod buruk.

S: Akhirnya, apakah pesanan S.S Dr. kepada rakyat, khususnya umat Islam?

Dr. MAZA: Sesungguhnya undi yang kita berikan kepada seseorang calon adalah perlambangan kepada diri kita sendiri. Jika kita seorang yang inginkan kebaikan, tentu kita akan memilih mereka yang mampu membawa kebaikan dan kesolehan. Begitulah sebaliknya. Jika kita memilih calon yang buruk dari segi kepimpinan dan agamanya, sedangkan ada yang baik, itulah identiti kita sebenarnya. Sabda Nabi s.a.w dalam hadis al-Imam Muslim: “Ruh-ruh itu adalah tentera yang dihimpunkan; apa yang mereka kenal, maka mereka berpadu. Apa yang mereka tidak kenal, maka mereka bertentangan”. Nilailah siapakah yang jiwa dan ruh kita cenderung kepadanya, maka itu nilai ruh kita. Maka, pilihlah berdasarkan calon, bukan parti!

Catat Ulasan

0 Ulasan