Salam sejahtera,
Amat lama kita menunggu keputusan pilihanraya pada tahun ini di kaca televisyen. Kita disajikan dengan pelbagai diskusi, komen dan temuramah dengan tokoh-tokoh penganalisis politik tanah air namun semua pendapat yang dikeluarkan tidak secara berterus terang.
Saya menonton TV1, TV3, TV9 dan Astro Awani secara silih berganti. Namun, kebanyakkan daripada penganalisis memilih jalan selamat kerana tidak mahu memperkatakan secara terus terang. Jika ada sedikit isi-isi yang menjurus kepada perkara-perkara sensitif, cakapnya akan dipotong atau iklan akan dikeluarkan. Jika analisa yang dikemukakan,
Sebagai seorang yang tidak beparti, juga tidak mengundi dan juga seorang yang neutral; saya berpendapat antara faktor kegagalan kepada BN untuk mendapat majori 2/3 ialah:
1. Faktor Anwar Ibrahim
Pada mulanya, namanya tenggelam dan tidak langsung disebut-sebut di dalam media arus perdana. Hanya yang diperkatakan ialah keadilan adalah parti untuk individu tertentu dan juga pembangkang diperalatkan oleh individu tertentu. Namun, apa yang saya ketahui daripada rakan-rakan saya, ceramah yang dihadiri oleh Anwar Ibrahim mendapat sambutan ramai sehingga mencapai lebih sepuluh ribu dalam sesuatu masa. Kemahirannya berpidato memang tidak dapat dinafikan lagi dan boleh memukau setiap orang yang hadir. Tarikh pilihanraya juga dikatakan ditetapkan agar beliau tidak boleh bertanding.
Ini menjadi satu petanda yang beliau digeruni walaupun pihak BN mengatakan beliau sudah tiada tempat di hati rakyat. Dua tiga hari sebelum hari pengundian, nama beliau disebut-sebut di dalam media arus perdana sebagai pengkhianat negara, pertalian dengan barat, penyebab negara hampir bankrap dan banyak lagi termasuklah kenyataan bekas sekutu beliau, Chandara Muzaffar dan Roslan Kassim. Sememangnya ini adalah nada yang sama semasa beliau dipecat daripada jawapan TPM yang dahulu. Ini telah membangkitkan gelora di air yang sudah lama tenang. Para penyokong beliau yang sudah lama duduk diam terasa bahangnya dan kembali geram lalu dinoktahkan dengan undi kepada pembangkang.
2. Faktor Mahathir
Tun Mahathir mempunyai pengikutnya yang tersendiri di dalam BN.
Walaubagaimana teruk dia diperkatakan sebagai seorang tua yang sudah nyanyuk namun kredibiliti Beliau amat sukar disanggah. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dan kritikan beliau kepada kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi begitu kritikal dan tajam. Sekali-sekala dapat dilihat kritikan beliau yang boleh menjatuhkan terus PM namun padangan beliau masih lagi dapat ditepis. Namun, rakyat melihatnya sesuatu yang amat besar. Sedikit sebanyak rakyat berfikir jika orang yang sanagt dekat dam memilih seseorang itu tidak dapat mempercayai orang itu lagi, adakah mereka perlu terus percaya? Sebenarnya, pihak pembangkang bijak memanipulasikan kenyataan Tun Mahathir bagi kepentingan mereka juga. Saya berpendapat Tun Mahathir berbuat demikian kerana padangannya tidak diambil endah setelah melakukannya secara tertutup. Lalu, beliau membuat kenyataan secara terbuka.
3. Faktor Abdullah Ahmad Badawi
Dipermulaan Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, imejnya sungguh sempurna. Beliau adalah cucu kepada TOk guru, seorang yang boleh menjadi imam, seoarang yang bersih, anti rasuah dan pembaziran.
Itulah imej beliau di masa kemenangan besar BN di tahun 2004. Namun, imej beliau secara sedikit demi sedikit tecalar kerana pihak pembangkang telah memainkan serangan peribadi kepada beliau. Banyak risalah-risalah yang dikeluarkan yang menunjukkan beliau kuat tidur, memegang perempuan (Datuk Michelle yeoh) dan juga sebagai seorang Imam amalan baru, Islam Hadhari.
Perkahwinan beliau dengan isteri yang tidak memakai tudung dan juga anaknya telah mencemar imej Imam beliau agak terjejas teruk.
4. Faktor Khairi Jamaluddin
Khairi Jamaluddin telah dikatakan sebagai individu yang menguasai PM oleh Tun Mahathir. Saya suka cara agresif beliau yang tidak memeprlihatkan sebagai seorang yang lembik. Namun , beliau telah dikatakan sebagai seorang yang sangat angkuh dan mengeluarkan kenyataan semacam beliau adalah orang yang sangat berkuasa. Walaupun latar belakang beliau agak menarik dan tidak dinafikan berhak diangkat sebagai seorang pemimpin namun, menantu Perdana menteri itu perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan.
5. Faktor harga barang naik
Ini adalah faktor nasional. Harga barang di sini bolehlah dikaitkan dengan harga minyak. Banyak papatanda yang menerangkan tentang harga minyak berbanding dengan negara-negara jiran namun ada yang mempersoalkan kenapa tidak dibandingkan dengan harga minyak di negara pengeluar minyak seperti di Brunei. Setiap tahun diwar-warkan bahawa Petronas telah untung berlipat kali ganda namun kenapa harga minyak semakin membebankan?
6. Faktor pendidikan
Kos pendidikan yang mahal, sekolah aliran cina dan peluang sama rata ke Universiti adalah isu yang dimainkan. Pihak pembangkang berjaya memainkan isu ini dan berjaya menarik pengundi cina. Pengundi cina diperkatakan sebagai amat sensitif dengan isu pendidikan.
7. Faktor jenayah
Kebanjiran pekerja asing dan dikatakan menyumbang kepada kadar jenayah negara juga menjadi isu utama. Kerajaan dikatakan gagal mengawal keadaan seperti kes Nurin dan juga Sharlini.
8. Faktor media arus perdana
Ramai mengatakan media arus perdana berat sebelah. Mereka sudah muak dengan keadaan itu. Apabila digembar-gemburkan perihal pemimpin pembangkang yang sentiasa mendapat publisiti negatif, kebencian semakin meningkat kepada media arus perdana.
9. Faktor tak nak keluar mengundi
Peratusan pengundian yang rendah sehingga 50% di sebuah-buah negeri yang BN kalah bukanlah disebabkan kerana faktor cuaca. Saya berpendapat mereka tidak ada semangat dan tidak mahu nenyokong BN. Pengundi hanya berdiam diri di rumah dan akan menerima sahaja apa keputusan yang dibuat. Namun, saya percaya ada yang menyesal pada hari ini setelah melihat keputusannya.
10. Faktor keselesaan
Majoriti yang besar pada tahun 2004 dimenangi oleh BN menyebabkan mereka tidak berasa gusar. Lihatlah! siapa yang sangka BN akan kalah di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Sebelum ini apa yang diperkatakan ialah merampas kembali Kelantan dan kalaupun ada kejutan, negeri Perlis dan Terengganu sahaja yang mungkin bermasalah. Fokus adalah kurang kerana perasaan selesa ini lalu, BN tewas di negeri-negeri tersebut. Ada juga kerjaan negari yang "over-confident" seperti sasaran "PEMBANGKANG SIFAR 2010" namun mereka pula yang perlu menjadi pembangkang.
11. Faktor kerja kuat pembangkang
Setelah Terengganu kembali kepada BN dan Majoriti merosot PAS di Kelantan pada 2004,pihak pembangkang telah bekerja kembali kuat seperti tahun 1999.
Hasilnya apa yang anda dapat lihat pada kali ini.
12. Faktor pembelaan kaum
Rakyat cina dan india merasakan mereka kurang terbela. Adakah mungkin kerana imej islam hadhari? Saya melihat kejadian seperti tuntutan mayat yang dikatakan beragama Islam dari keluarga bukan Islam menjadi isu yang amat sensitif di kalangan rakayt bukan Islam.
13. Faktor prestasi
Ada wakil rakyat yang dipilih tidak menepati kehendah rakyat di atas prestasi mereka. Ada bekas YB iaitu mertuanya yang didapati melakukan perkara yang menyalahi kuasa diketepikan namun menantunya dipilih pula.
Bagi rakyat, ianya menunjukkan kronisme dan tidak dapat diterima.
14. Faktor simpati
Nurul Izzah iaitu anak kepada Anwar Ibrahim di suatu ketika dahulu di anggap puteri reformasi yang membela bapanya. Imejnya yang kuat bersemangat dan berani di ketika itu sudah cukup membuktikan beliau berhak dilantik sebagai YB. Mungkin ada undi simpati kepada beliau setelah apa yang dilaluinya selama ini di ketika bapanya di penjara.
15. Faktor dinasour
Contoh terbaik adalah YB di Sungai Siput yang memegang kerusinya semenjak 1974. Akhirnya ditolak rakyat pada hari jadinya.
16. Faktor dalaman
Ada perasaan yang tidak puas hati dengan pemilihan calon. Banyak calon luar diletakkan dan dipilih lalu tidak memperdulikan calon tempatan.Sebagai contoh ialah apa yang berlaku di Perak apabila calon Gerakan di letakkan di Lenggong yang sebelum ini, kawasan tradisi UMNO. Namun, sehari selepas itu, ianya diubah ke kawasan MB iaitu di Grik. Ini adalah contoh krisis dalaman namun ianya dapat ditangani segera. Ada maklumat yang mengatakan calon-calon di situ tidak menerima calon Gerakan dan akan menarik diri daripada bertanding jika calon Gerakan diletakkan disitu di atas dasar mengembalikan kerusi Bukit Gantang agar M. Kayveas dapat bertanding di Taiping. MB Perak menitiskan air mata apabila mengumumkan pertukaran tersebut.
17. Faktor hindraf
MIC dinampakkan sebagai sudah tidak boleh diharap untuk memperjuangkan nasib India. Kebanyakkan undi India kepada pembangkang. Keadaan sungguh luar biasa apabila orang India dan Cina juga memakai t-shirt pas dan merayu undi untuk Pas di kawasan calon yang ditandingi oleh Pas dengan BN. Mereka nampaknya tidak kisah menyokong sesiapa asalkan calon di satu pihak lagi itu melawan BN.
18. Faktor khabar angin
Banyak SMS dan Khabar angin dilemparkan seperti kenaikkan harga minyak lagi pada akhir bulan ini. SMS juga adalah satu penyebar khabar angin dan jenaka pilihanraya yang digunakan secara meluas sekarang ini. Yang menjadi persoalannya ialah rakyat lebih mempercayai sesuatu berita yang pantas diterima tanpa mempersoalkan kesahihan berita itu sebelum dihantar kepada orang lain. Sebagai contoh, antara SMS jenaka pilihanraya yang saya terima sekejap tadi ialah "SESIAPA ADA TERJUMPA SEORANG RAKYAT SELANGOR, RAMBUT PUTIH, BERLAGAK HANDSOME, BANGSA JAWA, RENDAH2, SILA HUBUNGI BALAI POLIS TERDEKAT.KUNCI PEJABAT MB ADA PADA BELIAU".
19. Faktor media alternatif
Media alternatif seperti blog dan laman web sudah menampakkan impaknya. Di saat-saatr akhir pilihanraya, PM juga telah membuka laman web untuk mendekati rakyat namun masa sudah suntuk pada ketika itu.
20. Faktor sokongan kakitangan kerajaan
Kakitangan yang agak tidak berpuas hati kerana tiada bonus pada tahun ini mungkin memberikan undi protes kepada kerajaan. Ada yang menyokong pembangkang, buat undi rosak atau tidak mengeluarkan undi.
Namun begitu, saya agak khuatir dengan keputusan pilihanraya yang dikatakan tsunami ini kerana wujudnya dominasi tidak seimbang dan nampak seperti ke arah menghapuskan tradisi ketuanan politik di tanah air kita yang suatu ketika dikenali sebagai Tanah "kita". Pada saya , rakat sebenarnya sudah terlebih memberi suara kepada pembangkang pada kali ini. Saya pasti akan mendaftar dan menyertai parti yang sudah banyak berjasa kepada saya. Kini, tiba masanya mereka memerlukan jasa saya pula setelah saya mendiamkan diri selama ini. Ini hanyalah pendapat peribadi saya. Apakah pendapat anda pula?
Sekian.
Penulis
"penaabadi "
0 Ulasan